Ahad, 12 September 2010

Risau cecair kekuningan

Risau cecair kekuningan
2010/06/05

TanyaDoktor

DOKTOR, sejak kebelakangan ini zakar saya sering mengeluarkan sejenis secair yang berwarna kekuningan. Cecair ini akan keluar selepas saya membuang air kecil atau kadang-kadang ketika saya mandi. Apa yang saya perasan, cecair ini hanya akan keluar apabila saya tidak melakukan hubungan seks atau onani. Cecair ini juga kelihatan sama dengan air mani tetapi tidak berbau seperti air mani atau berbau busuk. Harap doktor dapat menjelaskan perkara ini.
Aiman


SAUDARA Aiman, apa yang dapat saya simpulkan kemungkinan cecair yang keluar dari zakar anda itu berasal dari kelenjar prostat. Ini terutama apabila anda tidak melakukan hubungan seks atau tidak beronani. Salah satu fungsi kelenjar prostat ialah mengeluarkan rembesan yang akan menjadi sebahagian daripada komponen air mani.
Apabila rembesan ini tidak dikeluarkan secara onani atau ejakulasi, ada kemungkinan ia keluar dengan sendiri. Jika cecair ini tidak berbau atau saudara tidak mempunyai masalah lain seperti sakit ketika kencing atau rasa pedih sewaktu membuang air kecil, situasi yang anda hadapi ini tidak perlu dibimbangkan.

Ini kerana pesakit yang mengalami infeksi kelenjar prostat akan mengeluarkan cairan yang berbau dan berwarna kekuningan. Selain itu, pesakit yang menghadapi masalah ini akan mengalami sakit ketika membuang air kecil, rasa pedih sewaktu kencing serta sakit pada bahagian perineum.

Jika gejala ini berlaku, pemeriksaan perlu dilakukan ke atas cairan untuk mengetahui jenis kuman yang hadir dalam cairan berkenaan. Rawatan yang sering diberi adalah pengambilan antibiotik secara oral.

Selain itu, penyakit transmisi seksual seperti gonorrhea dan chlamydia boleh menyebabkan pengeluaran cairan dari zakar. Ini juga mempunyai tanda yang sama seperti pedih ketika membuang air kecil serta kerap ke tandas.
Warna kekuningan yang anda lihat dalam air mani boleh berlaku. Ini kerap terjadi pada kebanyakan lelaki. Ia bersifat sementara dan saudara tidak perlu risau mengenainya.

Bagaimanapun, jika ia berterusan hingga melebihi tiga atau empat minggu, atau jika diikuti tanda-tanda yang nyatakan di atas, saudara perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan